“Mak, kita balik PD awal ye mak”.
Inilah dialog selalu aku suarakan pada emak setiap kali pulang ke kampung. Waktu itu, aku masih kecil dan mentah. Tidak tahu betapa berat hati emak untuk meninggalkan Wan yang berseorangan di kampung. Yang aku tahu, aku cuma mahu melayan keseronokan aku bermain bersama kawan-kawan sepermainan di Port Dickson. Emak tersenyum. Walaupun berat hatinya, diturutkan juga permintaan kecil aku itu. Biarpun tidak lah secepat mana kami berangkat pulang, tapi hebatnya emak ini, dapat memuaskan hati anak-anaknya dengan hanya senyumannya.
Lantas kami pulang ke rumah. Lambaian tangan mengiringi kami. Wan tersenyum kelat. Menahan sedih sambil cuba melindunginya dengan senyuman. Waktu inilah, aku terasa sedih dan hiba. Wajah yang ceria ketika kami sekeluarga berada di kampung, bertukar menjadi kelat dan sugul saat kami melambai tangan untuk pulang. Lambaian tangan yang tadi laju, kini menjadi perlahan. Maka kami hilang daripada penglihatan Wan.
________________________________________________________________
“Mak, orang balik dulu. Mak jaga kesihatan ye. Makan jangan banyak sangat. Exercise seminggu sekali. Tu ha, treadmill ayah beli tu, mak kena la guna ye.”
Sekali lagi, mak cuma tersenyum.
“Tula kan. Mak ni kena senaman selalu. Baru sihat. Bondo ado, pakai sekali sekalo.”jawab mak bercampur loghat Negeri Sembilan.
“Bukan sekali sekala mak, setahun sekali pun tak tentu” aku berseloroh.
Kami pun tergelak.
“Okla mak. Orang gerak dulu. Semoga Allah lindungi mak dan ayah. Senang-senang call la ye. Miscall pun takpe.”.
Enjin kereta dihidupkan. Gear reverse. Kereta berundur dan bersedia dalam posisi untuk maju ke depan. Saat ini aku hon kan kereta dan tangan dilambai-lambai.
“Saya balik dulu! Bye mak, ayah”.
Kala ini, aku teringat waktu berangkat pulang dari kampung Wan. Mungkin ini perasaan mak ketika itu. Sedih bercampur gembira. Tangan melambai pergi, tapi hati masih mahu berada di sini. Sekarang aku masih punyai mak dan ayah. Jika mahu berangkat pulang, masih ada ayah di sisi emak. Aku tidak boleh bayangkan, bagaimana agaknya kalau salah seorang mereka tiada. Jika tiada ayah, apalah erti rumah kami. Jika tiada emak, hilanglah nilai ‘istana’ dalam rumah.
Kampung Nuri tiadalah nilainya jika Wan sudah tiada lagi. Erti rumah itu terletak pada kewujudan Wan di situ. Jika satu hari nanti Wan sudah tiada, aku tak pasti mungkinkah aku akan lawati Kampung itu lagi.
Begitu juga dengan rumah kami kini, saat mak dan ayah masih ada, rumah itu satu persinggahan yang mewah. Istana merehatkan minda dan badan. Atas rasa kasih dan sayang pada mak dan ayah, aku pulang sekerap yang mungkin. Membuatkan mereka gembira satu kejayaan. Menghiburkan mereka, satu kepuasan.
Apakah erti rumah jika tiada mak dan ayah?
A home, without mom and dad is just a house.
Indeed. It’s true. It’s true.